KAHERAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menganggap keputusan
pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf
Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel adalah 'jenayah terburuk' dan
melanggar undang-undang antarabangsa.
"Baitulmaqdis adalah ibu negara Palestin dan ia akan sentiasa kekal
dengan kedudukan itu," kata Mahmoud pada Sidang Kemuncak Pertubuhan
Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, hari ini.
Katanya, tindakan AS menyerahkan Baitulmaqdis kepada Israel seolah-olah ia adalah sebahagian daripada negara itu.
"Tindakan itu melanggar segala batasan yang ditetapkan," katanya.
Justeru, Mahmoud berkata, AS tidak lagi layak campur tangan dalam proses
damai di Asia Barat, kerana tindakannya itu membuktikan mereka
mengamalkan sikap memihak kepada Israel.
Sementara itu, di Istanbul, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan
menggesa dunia mengiktiraf timur Baitulmaqdis sebagai ibu negara
Palestin.
Katanya, ini sebagai tindak balas terhadap tindakan Trump yang mengiktiraf bandar itu sebagai ibu negara Israel.
"Saya menggesa semua negara yang menghargai undang-undang antarabangsa
dan prinsip keadilan supaya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara
Palestin," katanya pada Sidang Kemuncak OIC di sini.
Malah, beliau meminta semua negara Islam supaya 'tidak berputus asa' sehingga tuntutan itu mencapai matlamatnya.
Presiden Iran, Hassan Rouhani dalam mesej di Twitter menganggap tindakan
Trump itu sebagai tidak menghormati hak sah rakyat dan negara Palestin.
Hassan berkata, ia juga menunjukkan Washington hanya mengutamakan kepentingan Zionis dalam proses damai Asia Barat.
Pada masa sama, Raja Abdullah dari Jordan menolak segala usaha bagi
mengubah status Baitulmaqdis, termasuk sebagai kota suci umat Islam.
"Segala insiden keganasan adalah berpunca daripada kegagalan untuk
mencari jalan damai kepada isu Palestin," katanya. AFP/Reuters
__________________________________________________________
sumber
0 Comments