Saya kongsikan pengalaman menarik ini dari seorang kawan bernama Azran
Chan. Dia kongsikan kisah dirinya sendiri, bagaimana dia, seorang anak
berbangsa Cina membesar dengan anutan agama Buddha, bersekolah aliran
Kristian, akhirnya masuk Islam.
Kita ikuti kisahnya kata bawah ni. Saya siarkan sebagaimana yang saudara
Azran tulis sendiri tanpa buat perubahan kecuali pada ejaan dan sub
title.
"MY JOURNEY TO ISLAM"
Nama saya AzRAN Chan, mungkin disebabkan saya pernah lari dari rumah...
Sejak kecil lagi, saya sering dibawa ke tokong Naga, Natok Kong, tokong
Sampoh (Cheng Ho), tokong Sembilan, kuil Buddha, kuil Kuan-yin dan
tokong Hindu.
Keadaan asap gaharu tebal amat memedihkan mata setiap kali saya dibawa
kesana. Sehingga ke hari ini, saya diserang migrain setiap kali terhidu
asap gaharu ataupun asap kemenyan.
Pernah ketika berumur 11 tahun semasa perarakkan hari wesak, saya hampir
mati terjerut di tali yang mengheret patung Buddha setinggi rumah dua
tingkat.
Sekolah Kristen
Semasa di sekolah menengah, saya dihantar ke sekolah St Xavier yang merupakan sebuah sekolah Kristen.
Pengetuanya Rev. Padri Charles seorang Padri yang berasal dari Irish.
Berdialog Dengan Padri
Saya menyertai pasukan Kedet Tentera di sekolah dan menjawat sebagai
ketua armskot (armourer) dan setiap kali saya membuka pintu stor senjata
yang menyimpan 60 laras senapang Le Enfield Mark 1 untuk kawad
bersenjata yang terletak dibawah tangga kuaters padri, saya terpaksa
memanggil padri untuk membuka pintu tangga.
Jadi, seringkali saya berinteraksi dan berdialog dengan beberapa padri yang menghuni di kuaters.
Berikut adalah dialog saya dengan Padri Patrick:
Padri Patrick: Anak, awak patut sembah Jesus.
Saya: Padri, kenapa harus saya sembah Jesus, sedangkan dia adalah seorang manusia seperti kita?
Padri Patrick: Jesus akan menjadi Penyelamat Peribadi kamu.
Saya: Bagaimanakah Jesus hendak jadi Penyelamat saya, sedangkan dia berkata, "Aku dengan sendiri tidak mampu melakukan apa-apa..."
(John 5/30)
Sejak itu Padri itu tidak lagi mengajak saya berdialog.
Belajar tentang agama Islam
Pada waktu itu, rakan sekelas telah menyelitkan buku lucah yang
dibawanya ke sekolah kedalam beg sekolah saya dan malangnya saya telah
ditangkap pengawas yang membuat spot check.
Seorang sahabat pergi beritahu ustaz Sa'dan, guru Agama Islam disekolah itu, dan dia datang membela saya.
Sejak itu saya mengikuti kelas Pengetahuan Agama Islam yang diajar oleh ustaz Sa'dan.
Apabila papa mendapat tahu bahwa saya telah mengikuti kelas Agama Islam,
dia cuba menghalang, dipaksanya saya makan daging babi dan sebagainya.
Mungkin papa panic dan tidak tahu hendak menangani masalah yang dihadapinya.
Papa mana yang tidak sayangkan anak dan apabila anak menyatakan hasrat
untuk meninggalkan agama kepercayaan yang diwarisi turun temurun.
Pada cuti penggal persekolahan, saya telah melarikan diri dari rumah,
kemudiannya ditemui tidur di-setor sekolah lalu dibawa balik kerumah.
Memeluk agama Islam
Selepas itu saya lari sekali lagi dan berjumpa Ustaz Sa'dan yang membawa saya kepada ayah angkat saya Allahyarham Pakleh.
Ayah membawa saya berdaftar dipejabat Kadi Balik Pulau.
Walaupun usia saya belum mencapai lapan-belas, namun kadi pada waktu
itu, Allahyarham ustaz Haji Mohd Khair telah mendaftarkan Pengislaman
saya.
Ustaz Khair menyimpan Sijil Kemasukan Islam saya dan keluarkannya selepas hari-lahir saya yang ke-lapan belas.
Ayah kemudiannya menghantar saya ke sekolah pondok dimana saya sempat
belajar ilmu pengetahuan Islam selama dua tahun di Terong, Perak dan di
Madrasah al-Masriyah Pulau Pinang.
Bertemu Papa buat kali akhir
Ketika di Madrasah al-Masriyah, Inspektor Borhan dari Polis Cawangan
Khas datang membawa saya ke Hospital Lam Wah Ee untuk bertemu papa yang
sedang nazak.
Penemuan dengan papa setelah dua tahun berpisah amatlah mengharukan. Papa dengan nada sayu dan lemah berkata,
"Ah Chong, kamu jangan salah-sangka; papa tidak larang kamu masuk
Islam, papa bimbang kamu tersalah ikut Muslim yang pergi berjihad.
Lagipun kamu kan anggota Kadet Tentera di sekolah?"
Hujung minggu yang berikutnya, saya menziarahi papa lagi di hospital.
Kali ini papa sudah tidak sedarkan diri. Papa koma. Saya menghampiri
papa lalu melafazkan Dua Kalimah Syahadah ditelinganya...
Terasa gengaman tangan papa walaupun dia koma.
Sejerus selepas itu, mesin pulse terus mendatar----------.
Papa pergi buat selamanya.
Setelah beberapa tahun berlalu, mama masih tidak mampu menerima hakikat anak ke-limanya sudah Muslim.
Akhirnya saya mendirikan rumahtangga dan dikurniakan empat anak gadis.
Nenek mana yang tidak cair melihat cucunya, begitu jua mama mula
menerima anak cucunya sebagai Muslim.
Usaha ini amat-amat sekali memerlukan sokongan ramai bagi mendana
gerak-kerja kami agar dapat meneruskan usaha mengajak keluarga kami
kepada Kebenaran Islam.
__________________________________________________________
sumber
0 Comments