BACA: 5 Pulau Cantik Untuk Percutian Bajet Di Terengganu
Menurut salah seorang pekerja yang sempat kami tanyakan di sini, hari yang biasanya ramai orang adalah hari Sabtu kerana ia adalah hari hujung minggu selain hari untuk bersama keluarga setelah penat bekerja lima hari.
Warungnya biasa-biasa saja, tiada apa yang fancy tetapi memang penuh orang. Malah ada beberapa kerusi juga ditempatkan di luar bahagian warung untuk memudahkan anda menikmati makanan di sini.
Apa yang uniknya di sini, anda perlu gunting sendiri sotong yang bersaiz boleh tahan besarnya tapi jika take away, memang akan dipotong siap-siap.
Selain hidangan makanan laut bergoreng penuh nikmat, anda boleh juga memesan ais parut jagung. Lebih kurang air batu campur (ABC) dengan tambahan jagung. Sedap belaka bagi kami sebab tengah lapar ketika sampai di sini.
Harga sotong di sini adalah mengikut saiz (harga akan ditulis siap-siap dan akan diletakkan di dalam pinggan) manakala harga ikan dan juga udang adalah tetap bermula dari RM4 dengan saiz yang memang memuaskan.
Jika anda masih belum berkesempatan berkunjung di sini, boleh gunakan apllikasi Waze dan taip sahaja Warung Pok Nong yang terletak berdekatan jugalah dengan lapangan terbang Sultan Mahmud. Kawasan warung ini terletak ke dalam sikit di samping menyusuri pantai. Layan jugalah tengok daun pokok kelapa terbuai-buai di tepi pantai, itu pun jika anda tidak memandulah.
TIPS:
1. Jika anda makan di sini ketika orang ramai, harapnya anda mempunyai sedikit perasaan bertimbang rasa jika telah selesai makan dan tidak mengada-ngada duduk berborak walaupun tahu ramai lagi orang sedang mencari tempat duduk untuk makan.
2. Jika sudah makan bersepah satu meja sebab kupas kulit udang dan juga tulang-tulang ikan di sini, tidak ada salahnya jika anda kutip semula dan letakkan di dalam pinggan bagi memudahkan proses pembersihan oleh pekerja di situ. Kita mudahkan kerja orang lain, nanti kerja kita akan dipermudahkan pula, tak begitu?
3. Jika ada yang ingin makan di tepi pantai dan tapau daripada kedai Pok Nong, harapnya jagalah kebersihan. Tidak luak tenaga pun jika boleh buang sampah pada tempat sebetulnya. Sebelum belajar hormati orang lain, tidak salah jika hormati alam sekitar.
Bagi anda yang merancang mahu ke sini, bolehlah mula datang pada pukul 3.30 petang (warung mula dibuka). Kami tidak pernah sampai pada hari lain tapi jika ingin merasa meriah, boleh datang pada hari Sabtu.
Kami kongsikan beberapa keping gambar di gerai Pok Nong bersama anda, siap ada Pok Nong sekali di dalam gambar.
Anda boleh pilih sendiri dan ambillah seberapa banyak pun, janji bayar
Kepada yang mahu bungkus pun boleh
Ikan celup tepung (ICT) yang baru digoreng
Layan juga ABC jagung parut ini
Gunting dan penyepit disediakan bagi memudahkan anda memotong sotong yang besar
Pok Nong memang sentiasa sibuk kami lihat
Jika sudah siap makan, bolehlah beli layang-layang untuk main di tepi pantai
Tenang sungguh pemandangan di sini. Perut kenyang, hati senang
Jika anda pernah ke sini atau mungkin kampung anda di Terangganu, bolehlah kongsikan bersama kami mana-mana lagi lokasi yang menarik untuk dikunjungi di negeri ini. Oh, sos di warung ini memang sedap. Senang cerita, sos keropok lekor di Terangganu memang power habis.
__________________________________________________________
0 Comments