SEORANG penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) baru-baru ini
menarik perhatian ramai di laman Facebook apabila mempertikaikan tahap
keselamatan syarikat penerbangan kebangsaan yang didakwa tidak cekap.

__________________________________________________________
Semuanya bermula apabila penumpang yang dikenali sebagai Chin Xin Ci
berhadapan dengan situasi di mana tempat duduknya di dalam pesawat
MH1433 dari Langkawi ke Kuala Lumpur baru-baru ini diambil oleh orang
lain yang tidak dikenali.
Xin Ci yang hairan dengan kejadian itu, meluahkan rasa kesalnya
bagaimana pihak MAS boleh mengeluarkan pas masuk pesawat kepada individu
yang menyamar sebagai dirinya.
“Saya lihat ada orang duduk di tempat duduk saya semasa di
dalam pesawat. Saya memberitahu yang tempat duduk itu adalah tempat saya
tetapi bayangkan betapa terkejutnya saya apabila dia mengeluarkan pas
berlepas yang tertulis nama saya dan nombor penerbangan yang sama,” katanya.
Dedah Xin Ci lagi, ketika melalui pemeriksaan keselamatan di pintu
masuk, tiada sesiapa yang ditugaskan untuk memeriksa kad pengenalan sama
ada sepadan dengan nama yang tertera pada pas.
“Ini ialah perkara besar. Bayangkan risiko keselamatan sekiranya orang boleh memasuki pesawat dengan pas pelepasan orang lain.
“Apa jadi sekiranya orang itu adalah penjenayah dan berjaya
menggunakan identiti saya untuk menaiki penerbangan itu. Tidakkah kita
belajar apa-apa daripada MH370?” katanya yang nyata kecewa.
Difahamkan, selepas insiden itu kakitangan MAS enggan mengusir
penumpang terbabit sebaliknya meminta Xin Ci duduk di tempat lain iaitu
selang tiga baris di belakang tempat sepatutnya.
Menerusi ruangan komen pada status Xin Ci, pihak pengurusan MAS telah
menerima aduannya itu dan berjanji akan menyiasat kejadian berkenaan. –
MYNEWSHUB.CC
0 Comments