KATA-KATA yang diungkapkan oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai
tukang potong rumput apabila tanpa sengaja memecahkan cermin sebuah
kereta begitu menyentuh hati.
Pemilik kenderaan yang berang dengan insiden itu terus mencari siapakah gerangan yang menyebabkan cermin keretanya pecah.
Namun dia kemudiannya terkedu dengan pengakuan tukang potong rumput
dari etnik Rohingya itu yang sanggup membayar kos menggantikan cermin
kereta tersebut walaupun bosnya sedia berbuat demikian.
“Dia kata kalau saya buat, biar saya yang ganti. Kalau saya lari
sekarang belum tentu di akhirat saya dapat lari. Allahurabbi,” kongsi
pemilik akaun Facebook, Mizi Lalang.
Menurut Mizi, apa yang menyentuh perasaannya, lelaki itu turut
menceritakan mengenai negaranya yang bergolak tetapi dalam masa yang
sama dia turut mengingatkan tentang akhirat dan kematian.
Tambah Mizi lagi, kisah ini turut memberi peringatan supaya jangan
pandang remeh terhadap orang lain yang zahir nampak tiada apa-apa tapi
dia jujur demi rezekinya dan mungkin mempunyai ilmu agama yang tinggi.
Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata netizen memuji sikap jujur yang ditunjukkan lelaki berkenaan.
“MasyaALLAH jujurnya dia,” tulis Abdullah Zawawi Abdul Hamid
“Bukan sahaja rezekinya murah. Kita doakan negara mereka aman makmur
dan mereka dapat hidup sempurna di negara mereka sendiri. Amin,” tulis
Man Ghazali Rais pula. lapor Sinar Online.
__________________________________________________________
0 Comments