PEGAWAI penguat kuasa memeriksa suhu makanan yang dijual
Melaka: Gerai makan yang menjadi viral di laman sosial kerana didakwa mengenakan harga melampau diarah tutup 14 hari oleh Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah selepas gagal melepasi tahap penilaian risiko memuaskan.
Ikuti artikel sebelum ini: Kedai Makan No 7 Medan Selera Klebang Yang ‘Popular’ Sebab Maki Hamun Pelanggan
Arahan menutup premis beroperasi di Medan Selera Pantai Klebang
di sini, bermula kelmarin selepas pemeriksaan dilakukan wakil jabatan
itu mendapati premis terbabit tidak mengamalkan amalan penyediaan
makanan selamat.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Daerah Melaka Tengah berkata, pemeriksaan
dilakukan empat pegawai kesihatan diketuai pegawai kanan apabila mereka
memeriksa tahap kebersihan premis dan penyediaan makanan.
“Hasil pemeriksaan, kami dapati makanan dihidang tidak ditutup dan
dihurung lalat selain tahap kebersihan dalam peti sejuk beku juga
diragui serta tidak berada pada suhu ditetapkan.
“Kami juga mendapati peralatan memasak seperti papan pemotong daging
juga tidak bersih selain pemilik premis menggunakan kertas surat khabar
sebagai pembalut bahan mentah yang disimpan di dalam peti sejuk beku,”
katanya, semalam.
GERAI makan di Medan Selera Pantai Klebang yang diarah tutup
Jurucakap berkata, pada pemeriksaan itu, sebuah lagi premis yang
terletak selang sebuah dengan premis terbabit turut diarah tutup selama
14 hari.
Katanya, kedua-dua premis terbabit diberi Perintah Penutupan Premis
Makanan Tidak Suci mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan jika mereka
melanggar arahan, pemiliknya boleh dihukum penjara lima tahun atau
denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Dalam tempoh 14 hari, kedua-dua premis ini perlu dibersihkan
sehingga mencapai standard ditetapkan dan memohon untuk pemeriksaan oleh
pegawai kami.
“Jika mereka beroperasi tanpa kebenaran, pemiliknya boleh didakwa di mahkamah,” katanya.
Jumaat lalu, premis terbabit menjadi viral di laman sosial selepas
ada individu memuat naik dakwaan berkaitan pengusaha kedai makan itu
yang kononnya mengungkapkan kata-kata kesat sesuka hatinya.
Sumber: Harian Metro
__________________________________________________________
sumber
0 Comments