BARCELONA: Philippe Coutinho akhirnya mendapati apa yang dihajatinya
hari ini ini apabila Barcelona bersetuju membeli bintang Liverpool dari
Brazil dengan harga 160 juta euro (RM769.3 juta) iaitu kontrak ketiga
termahal sepanjang zaman.
“Barcelona dan Liverpool mencapai persetujuan berhubung perpindahan
Philippe Coutinho. Pemain itu akan menandatangani kontrak untuk baki
musim ini dan lima tahun lagi dengan klausa pelepasan sebanyak 400 juta
euro (RM1.92 bilion),” demikian menurut Barcelona dalam satu kenyataan.
Kontrak untuk pemain tengah berusia 25 tahun itu adalah yang ketiga
termahal dalam bola sepak selepas 222 juta euro (RM1.06 bilion) yang
dibayar Paris Saint-Germain kepada Barcelona untuk bintang Brazil Neymar
tahun lalu dan 180 juta euro (RM865.5 juta) yang akan dibayar PSG
kepada Monaco untuk Kylian Mbappe sebaik tempoh pinjaman pemain Perancis
itu ke kelab juara Ligue 1 itu berakhir.
“Dengan berat hati, kami sebagai sebuah pasukan dan kelab bersedia
mengucapkan selamat tinggal kepada seorang rakan baik, insan yang hebat
dan pemain menakjubkan iaitu Philippe Coutinho,” kata pengurus Liverpool
Jurgen Klopp menerusi laman web rasmi kelab itu.
“Bukan rahsia lagi apabila Philippe mahukan perpindahan ini sejak Julai lalu apabila Barcelona mula menunjukkan minat mereka.
“Philippe menegaskan kepada saya, pemilik dan juga rakan sepasukan bahawa inilah perpindahan yang mahu dilakukannya.”
Coutinho, pemain kelahiran Rio de Janeiro tiba di Anfield dari Inter
Milan dengan harga £8.5 juta (RM461 juta) dan menjaringkan 54 gol dalam
semua kejohanan dalam tempoh itu meskipun tidak pernah menjulang
sebarang gelaran sepanjang lima tahun itu.
Barcelona cuba mendapatkannya pada musim panas, namun pemergiannya
satu tamparan buat Liverpool selepas pengatur serangan itu kembali
mempamerkan aksi hebat selepas mengalami kecederaan pada awal musim.
Dia menjaringkan enam gol dalam tujuh perlawanan terakhir 2017 dan
meletakkan pasukannya dalam kelompok kelayakan Liga Juara-Juara.
Kejayaan mendapatkan Coutinho membolehkan Barcelona melupakan keperitan kehilangan rakan senegaranya Neymar musim panas lalu.
Sumber: HM
__________________________________________________________
sumber
0 Comments