ISU Palestin tidak pernah luntur daripada pemikiran kita semua, kerana
isu ini amat dekat dengan kita. Tidak kiralah orang Islam atau tidak,
isu ini diakui sebagai isu yang amat sensitif dan boleh mengancam
keselamatan Timur Tengah jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
Hari ini, usaha mempertahankan hak rakyat Palestin juga telah dilakukan
oleh orang bukan Islam kerana kekejaman Israel yang amat dahsyat dan di
luar norma kemanusiaan.
Bahkan, sebilangan penganut Yahudi turut sama menentang penguasaan
Israel terhadap Baitulmaqdis yang merupakan penempatan rakyat Palestin
sejak sekian lama.
Mereka menzahirkan dengan pelbagai bentuk bantahan seperti memorandum,
kenyataan media, tulisan artikel termasuk tunjuk perasaan dan juga
demonstrasi.
Pegawai Penerangan (Agama) Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Wan Ji
Wan Hussin berkata, soal pembebasan Baitulmaqdis, bukan semata-mata isu
agama, anutan dan kepercayaan tetapi ia lebih menjurus kepada isu
kemanusiaan dan hak.
“Ini kerana, Israel yang sejak dari awal sehingga hari ini gagal
mendapat pengiktirafan dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk
menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota mereka.
“Namun, memandangkan Amerika Syarikat salah sebuah negara dari lima buah
kuasa besar di bawah PBB, melalui Donald Trump mereka membuat provokasi
besar terhadap umat Islam dengan membuat pengisytiharan Baitulmaqdis
yang menjadi kepunyaan rakyat Palestin kononnya sebagai ibu kota
Israel,” jelasnya.
Wan Ji yang juga pendakwah bebas berkata, pengisytiharan yang berbentuk
provokasi ini amat jelas mempunyai agenda yang amat tersirat.
“Apa yang pasti, di sebalik pengisytiharan itu terdapat penafian
terhadap hak dan usaha untuk menafikan kemanusiaan rakyat Palestin yang
majoriti mereka terdiri penganut agama Islam.
“Keadaan ini mewujudkan penentangan dan bantahan dari banyak pihak di
dunia. Menariknya, bantahan tersebut bukan sekadar dari kalangan orang
Islam, malahan dari kalangan bukan Islam, dan dari kalangan Yahudi yang
anti zionis turut sama membantah terhadap pengisytiharan Trump
tersebut,” katanya.
Menurutnya, pembukaan Baitulmaqdis dalam hadis sahih yang diriwayatkan
oleh al-Bukhari di samping enam perkara secara berurutan akan berlaku
tanda-tanda kiamat dinyatakan bahawa antaranya ialah pembebasan terhadap
Baitulmaqdis.
“Hadis tersebut menyatakan bahawa enam perkara berurutan yang perlu
dihitung sebagai tanda-tanda kiamat, iaitu, kewafatan Nabi Muhammad SAW,
kemudian pembukaan Baitulmaqdis, kemudian kematian yang menyerang
sepertimana penyakit membunuh kambing, kemudian kekayaan melimpah ruah
sehingga seseorang lelaki yang diberikan seratus dinar pun, dia tetap
marah (kerana berasa kurang), kemudian fitnah sehingga tidak ada sebuah
rumah orang Arab melainkan fitnah itu akan masuk ke rumah mereka,
kemudian terjadinya perdamaian dengan bani Asfar (bangsa Romawi), namun
mereka melanggarnya dan mendatangi kalian dengan 80 kelompok besar
pasukan. Setiap kelompok itu terdiri dari 12 ribu orang.
“Tidak diketahui, pembebasan Baitulmaqdis yang mana menampilkan sebagai
tanda kiamat. Ini kerana, dari sudut sejarah, sudah beberapa kali
Baitulmaqdis telah dibebaskan, iaitu pada zaman pemerintah Saidina Umar
bin al-Khattab pada tahun 16 Hijrah dan pada zaman penguasaan Salahuddin
al-Ayubi pada tahun 583 Hijrah,” katanya.
Sementara itu, dari sudut hadis yang sahih, dipamerkan bahawa soal pembukaan Baitulmaqdis adalah antara tanda-tanda kiamat.
Wan Ji berkata, apa yang jelas, dalam hadis itu dipamerkan tanda kiamat
itu bukan semata-mata pembebasan terhadap Baitulmaqdis, malahan
dinyatakan juga berkenaan dengan tanda kiamat itu adalah dengan
kewafatan Rasulullah SAW. Bermakna, akhir zaman yang kiamat bakal
menjengah itu bermula dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW yang merupakan
Nabi akhir zaman.
“Ini dapat dilihat juga dengan hadis yang lain bahawa dipamerkan bahawa,
antara tanda akhir zaman itu adalah apabila wujud kalangan anak muda
yang masih lemah pemahaman, yang mereka mempunyai ungkapan yang baik,
namun mereka terkeluar dari agama bagaikan anak panah yang tersasar dari
tujuannya," katanya.
Bukan itu sahaja, menurut Wan Ji, majoriti ulama mentafsirkan hadis ini
adalah merujuk kepada golongan khawarij yang mengamalkan amalan takfiri,
iaitu mengkafirkan sesama Islam. Apa yang pasti, kewujudan khawarij ini
sudah lama, iaitu pada era zaman sahabat lagi.
“Dengan ini jelas, bukan soal pada zaman kita atau akan datang baru
berada dalam lingkungan akhir zaman, bahkan semenjak zaman Nabi Muhammad
SAW menjadi Nabi lagi, sudah bermula era akhir zaman yang dimaksudkan
oleh hadis," katanya.
Sumber: Sinar Harian Online
__________________________________________________________
sumber
0 Comments