KUALA LUMPUR - Proses menentukan sama ada flaperon yang ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi adalah daripada pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 akan dilakukan di Toulouse, Perancis, Rabu ini.

Ia akan dijalankan oleh wakil pakar dari Malaysia, China, Amerika Syarikat,  Perancis dan Boeing, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Kami akan membuat pengumuman sebaik sahaja proses pengesahan itu selesai (We will make an announcement once the verification process has been completed)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bukit Serdang di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai sirpihan itu.

Sebarang spekulasi mengenainya akan memberi tekanan kepada waris penumpang dan masyarakat yang ingin tahu mengenai penemuan tersebut, kata Tiong Lai.

"Sejauh yang kita tahu, serpihan, iaitu flaperon yang ditemui pada Rabu lalu, disahkan adalah bahagian daripada Boeing 777, tetapi terlalu awal untuk mengaitkannya dengan MH370. Begitu juga dengan objek-objek lain yang ditemui selepas itu," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: MH370: Lokasi penemuan selaras analisis pakar]

Tiong Lai juga berkata usaha telah dibuat bagi menyedarkan masyarakat di kawasan terbabit supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika menemui sebarang objek yang mungkin berkait dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang itu.

Ia berikutan laporan bahawa sebelum ini pada Mei lalu seorang penduduk Reunion Island telah menemui objek yang didakwa kerusi pesawat tetapi telah melupuskannya kerana tidak tahu mengenai MH370 yang hilang pada 8 Mac tahun lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.

"Ia merupakan usaha global...kita telah pun memberitahu mengenai maklumat ini kepada pihak berkuasa kawasan kemungkinan termasuk Pulau Sumatera agar penduduk setempat memberi kerjasama jika terjumpa dengan sebarang bukti mengaitkan pesawat MH370," katanya.