
Pihak
berkuasa Malaysia telah dimaklumkan mengenai AS$500 juta (RM1.89
bilion) yang didepositkan ke dalam akaun peribadi jutawan kelahiran
Pulau Pinang, Jho Low sebagai sebahagian daripada siasatan mereka
terhadap dakwaan penyelewengan dana 1MDB, demikian menurut The Wall Street Journal (WSJ) .
Jho Low, atau nama sebenarnya Low Taek Jho, adalah kawan rapat keluarga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Ini
berikutan laporan minggu lepas bahawa AS$700 juta (RM2.6 bilion) dana
negara didakwa didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Najib di AmBank
berdasarkan kertas siasatan kerajaan yang bocor.
Laman pemberi maklumat Sarawak Report semalam juga mendakwa bahawa RM2 juta dalam bentuk wang tunai telah didepositkan ke dalam akaun bank isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor di AffinBank dan ini juga merupakan subjek siasatan.
Ia juga menyiarkan apa yang ia katakan adalah nombor akaun bank Rosmah, yang mana Malaysiakini menentusahkan sebagai kepunyaan seorang bernama "Rosmah binti Mansor".
Dalam
laporan terbaru, WSJ mendakwa polis Singapura menulis surat bertarikh
19 Mac kepada bank pusat Malaysia mengenai AS$529 juta (RM2 bilion)
deposit antara 2011 dan 2013 ke dalam akaun bank Singapura yang dikawal
oleh Jho Low.
WSJ,
yang berkata telah melihat surat itu, mendakwa ia adalah sebagai
responsnya kepada pihak berkuasa Malaysia yang meminta Singapura
membantu siasatannya ke atas 1MDB.
Wang dipindah ke akaun BSI S'pura
Pihak
berkuasa Singapura berkata, wang itu berasal dari akaun bank Good Star
Limited di Switzerland tetapi perniagaan itu telah ditutup pada bulan
Februari 2014 dan tidak dapat lagi dikesan.
"Jika
hasil jenayah telah dipindahkan ke Singapura, kami ingin
mempertimbangkan sama ada suatu kesalahan telah dilakukan di Singapura,"
WSJ memetik surat yang ditandatangani oleh Chua Jia Leng, ketua Pejabat
Laporan Transaksi Mencurigakan Polis Singapura kepada Bank Negara
Malaysia.
WSJ mendakwa bahawa surat pihak polis itu mendedahkan wang itu telah dipindahkan ke dalam akaun Jho Low di BSI Singapore.
Laporan
itu juga menunjukkan 1MDB juga mendakwa memegang AS$1.1 bilion (RM4.2
bilion) dalam "unit" dalam sebuah akaun BSI Singapore, yang statusnya
tidak dapat dipastikan.
"Ia tidak jelas sama ada terdapat hubungan antara kedua-dua akaun itu. Jurucakap BSI enggan mengulas," laporkan WSJ.
Laporan itu WSJ mengesahkan laporan yang sama oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report pada hari Selasa.

.png)
0 Comments