
Pihak
berkuasa meminta peniaga di Plaza Low Yat menghentikan operasi mereka
lebih awal malam ini selepas kira-kira 200 orang, sebahagiannya
dikatakan dari kumpulan hak Melayu Pekida, berkumpul di luar bangunan
itu menyuarakan "ketidakpuasanhati" mereka berhubung satu pergaduhan
yang berlaku semalam.
Premis
perniagaan diminta tutup seawal jam 9 malam ini, dengan polis mengepung
kawasan itu bagi menghalang kumpulan itu daripada cuba memasuki
bangunan.
Difahamkan
yang kumpulan itu berkumpul di hadapan bangunan itu kira-kira pukul 6
petang dan bilangannya menjadi semakin ramai pada pukul 8.45 malam,
tanpa mempedulikan amaran polis yang melarang mereka membuat spekulasi
mengenai kes itu kerana ia masih dalam siasatan.
Mereka
didengari melaungkan kenyataan yang menghina dan keji dan kelihatan
bersedia menyerbu ke dalam premis itu apabila pihak pengurusan dan pihak
berkuasa memutuskan untuk menutupnya lebih awal.
Seorang pemerhati mengambil gambar yang menunjukkan orang ramai berkumpul di luar bangunan itu.
Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad
mengumumkan, pergaduhan malam tadi tidak bermotifkan perkauman tetapi
semata-mata satu tindakan membalas dendam oleh sekumpulan belia yang
tidak berpuas hati kerana salah seorang rakan mereka ditahan kerana
didakwa mencuri telefon bimbit.

"Kami
mahu keadilan dan kesaksamaan, kami mahu Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia Malaysia (SKMM) sedar apa yang berlaku semalam," katanya.
Insiden
yang berlaku pada jam 7.50 petang Sabtu menjadi viral di laman
rangkaian sosial, dengan ramai yang membuat kesimpulan ia bermotifkan
perkauman.
Posting
di media sosial juga menyatakan, lelaki yang kini berada dalam tahanan
polis kerana didakwa mencuri sebelum itu ditipu apabila membeli telefon
bimbit di sebuah kedai.
Lelaki
itu didakwa merampas satu unit telefon bimbit dari jurujual selepas
jurujual itu enggan menggantikan telefon bimbit yang dibelinya terlebih
dahulu.
Sementara
itu, polis berkata malam ini, orang ramai mula bersurai perlahan-lahan
sekitar jam 10 malam selepas diarahkan meninggalkan kawasan itu.
"Mereka
salah faham apa yang berlaku selepas membaca berita di media sosial.
Pihak polis menasihatkan mereka dan ada yang menerima penjelasan itu
tetapi terdapat juga beberapa orang yang masih tidak berpuas hati," kata
satu sumber.
Ketua
Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa yang berada di tempat
kejadian, sekali lagi menggesa orang ramai supaya tidak membuat
spekulasi mengenai apa yang berlaku dan membenarkan pihak polis
menjalankan siasatan mereka.
"Kami akan menyiasat kedua-dua pihak secara menyeluruh tanpa berat sebelah," kata Tajuddin ketika ditemui malam ini.
Sementara
itu, Zainuddin berkata, polis menahan seorang lelaki di kawasan
tersebut, yang dilihat "cuba memprovokasi" orang ramai dengan sebatang
kayu .
"Nasib
baik tiada kerosakan dilakukan kepada premis itu. Kami berjaya mengawal
orang ramai dan menghentikannya daripada semakin buruk dan menjadi di
luar kawalan," katanya.
Setakat malam ini, polis KL menahan dua lagi suspek bagi membantu siasatan dalam kes pergaduhan malam tadi .
Mereka berdua dikatakan antara 7 yang mengamuk di kompleks itu selepas rakan mereka ditangkap kerana dituduh mencuri itu.__________________________________________________________
0 Comments