
Datuk Seri
Najib Tun Razak menegaskan beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana
tekanan yang mahukan beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan
Presiden UMNO.
Beliau berkata
selagi rakyat menyokong beliau untuk menerajui kepimpinan negara sebagai
perdana menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya sebagai
presiden parti maka beliau tidak akan berganjak daripada jawatan yang
disandangnya sekarang.
"Saya cuma
tunduk kepada (desakan) ahli parti dan rakyat sahaja. Selagi ahli parti
sokong saya, selagi rakyat memberi kepercayaan, saya akan tetap
meneruskan perjuangan saya," katanya ketika berucap di hadapan kira-kira
40,000 orang yang hadir pada program Solidariti Rakyat Sabah bersama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Padang Perbandaran Tawau
di sini, Ahad.
Penegasan Najib itu yang dinyatakan dengan suara lantang
mendapat
tepukan dan sorakan daripada hadirin yang membanjiri Padang Perbandaran
Tawau sehingga melimpah ke kawasan jalan raya, disertai paluan
gendang.Beliau menegaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan
Presiden UMNO diperolehinya secara proses demokrasi dan ditentukan oleh
rakyat dan anggota UMNO dari seluruh negara iaitu dari Padang Besar di
Perlis hingga ke Pulau Sebatik, di Tawau, Sabah.
Ini merupakan
kali pertama Najib menjawab secara terbuka dan lantang desakan bekas
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau meletak jawatan
sebagai perdana menteri dan presiden UMNO.
Najib yang
ingin mendengar sendiri suara sokongan hadirin dengan melaungkan "rakyat
Sabah sokong" sebanyak tiga kali telah disambut dengan sorakan gemuruh
hadirin, "Najib, Najib, Najib".
Menegaskan
pendirian kukuhnya, Perdana Menteri sempat membacakan falsafah Bugis
yang berbunyi 'Kendati tergantung awan di langit. Telah terlanjur ku
bentang layar. Walau badai datang menggunung. Walau berdentum guruh di
langit, walau bumi berkeping dua, tak kan mungkin ku berbalik haluan'.
Justeru, kata
Najib takkan satu suara lebih besar daripada suara yang didengarnya
daripada hadirin dan juga rakyat di Kota Belud ketika menghadiri program
perasmian Projek Perumahan Rakyat di daerah berkenaan pagi tadi serta
suara rakyat yang telah memberi mandat kepadanya untuk memerintah
negara.
Katanya setiap
pemimpin termasuk beliau pernah menempuh ujian dan tidak terkecuali Dr
Mahathir yang menghadapi lebih banyak ujian ketika menerajui pucuk
pimpinan negara selama 22 tahun.
"Mana tak ada
ujian. Ujian Team A, Team B (dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir) hampir
kalah. Hampir 50 peratus ahli UMNO suruh dia letak jawatan. Tapi apa dia
jawab, 'walaupun saya menang satu undi, saya akan tetap terus menjadi
Perdana Menteri'. Oh hebat dia jawab.
"1987, saya
antara yang menyokong dia. Dia (Dr Mahathir) kekal menjadi Perdana
Menteri sebab apa? Sebab kita bersama dalam susah. Bila dalam susah kita
beri sokongan dia kekal. Kalau kita sokong pemimpin menghadapi ujian,
Dr Mahathir tidak boleh kekal 22 tahun menjadi Perdana Menteri," yang
sekali lagi mendapat sorakan hadirin.
"Jadi,
janganlah lupa, waktu dia (Dr Mahathir) jadi Perdana Menteri, kita
sokong dia penuh. Sekarang dia tidak jadi perdana menteri, sokonglah
pula. Kalau tak boleh sokong, janganlah bunyi sangat. Tapi tak apa,
jangan rosakkan parti. Kita boleh terangkan (isu berkaitan 1Malaysia
Development Berhad - 1MDB)," katanya.
Najib berkata
kenyataan Dr Mahathir berhubung 1MDB kebelakangan ini berbelit-belit,
sekejap kata 1MDB hilang RM42 bilion selepas itu kata pula tak hilang
tetapi 1MDB berhutang RM42 bilion.
Beliau menegaskan kerajaan ada cara tersendiri untuk menyelesaikan isu 1MDB jika diberi tempoh.
Perdana Menteri
menjelaskan ketika Tabung Haji membeli sekeping tanah milik 1MDB ia
adalah pelaburan dan bukannya 'bailout' 1MDB kerana Tabung Haji boleh
memperoleh keuntungan sehingga lebih RM170 juta melalui pembelian itu
namun disebabkan perkara itu dijadikan isu, beliau menasihatkan Tabung
Haji menjual tanah berkenaan.
Najib berkata
melalui penjualan semula aset berkenaan, Tabung Haji boleh untung
sehingga RM5 juta hingga RM6 juta namun pada masa sama merugikan
pendeposit Tabung Haji sendiri kerana jika aset itu tetap milik Tabung
Haji, pendeposit boleh untung sehingga RM170 juta.
"Tetapi kerana
isu sudah dipusing sebagai isu yang panas, orang kata 'you are shooting
yourself at your foot', tembak kaki sendiri. Inilah yang saya kata tidak
rasional.
"Kita buat
sesuatu untuk apa? Untuk kebaikan rakyat. Bagilah peluang. Setiap
perkara boleh kita selesaikan. Tetapi beri peluang kepada pemimpin untuk
menyelesaikan perkara itu," katanya.
Perdana Menteri
berkata selepas menyaksikan sokongan padu diberikan rakyat kepadanya
seperti yang dapat dilihat pada perhimpunan hari ini, beliau berazam
untuk meneruskan perjuangan malah semangatnya kian berkobar.
Turut hadir
pada program itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua
Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, dua Timbalan Ketua Menteri Sabah
Datuk Seri Yahya Hussin dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri
Belia dan Sukan Sabah yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau Datuk Tawfiq
Abu Bakar Titingan dan Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul
Ghapur Salleh.
(Sumber : BERNAMA)
__________________________________________________________.png)
sumber
0 Comments