
Saya
mengharapkan PDRM dan SPRM tidak bersikap pilih kasih di dalam
menjalankan siasatan berhubung dengan tuduhan yang dikemukakan oleh Wall
Street Journal (WSJ).
Tuduhan
ini berhubung dengan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) yang
didakwa telah dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak.
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata WSJ akan disiasat bawah
Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997 berhubung dengan dakwaan yang
dibuat.
Saya
melihat kepada setiap kenyataan yang dibuat oleh KPN dan tidak menemui
sebarang kenyataan yang menunjukkan bahawa beliau akan turut sama
menyiasat Datuk Seri Najib Razak sebagaimana dakwaan yang dikemukakan
oleh WSJ bagi memastikan kesahihannya.
Sehingga
ke hari ini tidak ada sebarang siasatan yang telah dijalankan ke atas
Datuk Seri Najib Razak oleh pihak PDRM berhubung dengan dakwaan yang
dikemukakan oleh WSJ tersebut.
Hal
ini berlawanan dengan aduan yang diterima oleh PDRM berhubung dengan
laporan yang dibuat ke atas Ahli Parlimen pembangkang sepertimana
sebelum ini.
Pihak
PDRM dilihat lebih ‘cergas’ dan tidak akan mengambil masa yang lama
untuk memanggil Ahli Parlimen berkenaan bagi disoal siasat.
Malah,
MP Batu pernah pada bulan Mei 2015 yang lalu ditahan secara
tergesa-gesa dan dilayan seperti seorang penjenayah gara-gara didakwa
mengambil bahagian dalam perhimpunan anti-GST di Kuala Lumpur.
Di
dalam kes skandal 1MDB yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak ini,
mengapakah laporan yang dikeluarkan oleh WSJ pada 3hb Julai 2015 yang
lalu baru disiasat barulah diserbu hari ini (8hb Julai 2015) oleh pihak
PDRM? Mengapa begitu lama masa yang diambil oleh PDRM untuk bertindak di
dalam kes ini?
Dalam
tempoh masa lima hari ini berbagai-bagai perkara boleh berlaku dan
kemungkinan besar bahan bukti yang dikehendaki telah diseludup keluar
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam
masa yang sama juga KPN turut memberi amaran tidak akan membiarkan
sesiapa pun mendedahkan maklumat perbankan seseorang individu ataupun
mana mana syarikat kerana ini boleh mengancam ekonomi negara dan membawa
kepada sabotaj ekonomi dan akan disiasat bawah Kanun Keseksaan dan Akta
Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) atas kesalahan
sabotaj ekonomi.
Persoalan
yang timbul di sini mengapakah KPN beriya-iya memberi amaran kepada
pihak yang membongkar maklumat kepada WSJ di dalam kes ini sedangkan
pembongkaran tersebut adalah melibatkan kepentingan seluruh rakyat
Malaysia.
Adakah
amaran ini dibuat bagi tujuan menakut-nakutkan orang ramai supaya pada
masa akan datang tidak ada lagi sebarang pembongkaran maklumat yang
berkaitan salah laku orang-orang tertentu yang mempunyai kepentingan di
dalam kerajaan?
Saya
melihat berlaku sikap pilih kasih di dalam siasatan yang dijalankan
oleh PDRM dan juga kenyataan yang dibuat apabila ianya melibatkan
individu-individu tertentu yang mana di dalam kes ini adalah merujuk
kepada Datuk Seri Najib Razak.
SPRM
dan PDRM perlu dilihat lebih berintegriti apabila mengendalikan sesuatu
kes yang berprofil tinggi yang melibatkan Pegawai Tinggi Kerajaan dan
tidak hanya bersungguh-sungguh membuat siasatan apabila ianya melibatkan
pihak pembangkang.
Gesaan
supaya siasatan dibuat ke atas Datuk Seri Najib Razak juga pernah
disuarakan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang menyifatkan
beliau pernah berbohong mengenai status wang 1Malaysia Development
Berhad (1MDB) yang dikatakan disimpan di BSI Bank di Singapura.
Bukti-bukti
dalam bentuk dokumen yang dikemukakan oleh WSJ dan Sarawak Report perlu
dipandang serius oleh SPRM dan PDRM memandangkan ianya melibatkan
maruah Negara dan memberi kesan buruk kepada ekonomi Negara yang
seterusnya akan memberi impak besar kepada rakyat Malaysia.
Sebelum
ini Datuk Seri Najib Razak pernah dikaitkan dengan beberapa kes
berprofil tinggi seperti kontroversi pembelian kapal selam Scorpene dan
kes pembunuhan Atlantuya. Di dalam kes tersebut, Razak Baginda bekas
pembantu rapat Datuk Seri Najib Razak telah didakwa bersama-sama dengan
dua orang anggota polis elit Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang juga
merupakan pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak.
Tetapi
mengapakah Datuk Seri Najib Razak tidak pernah dipanggil untuk
memberikan keterangan ataupun disoal siasat. Adakah ini menunjukkan ada
kekebalan tertentu yang beliau miliki?
Adakah
kekebalan Raja-Raja Melayu yang dihapuskan semasa era pentadbiran Tun
Dr Mahathir dahulu telah berpindah kepada Datuk Seri Najib Razak pada
hari ini?
Daripada
situasi yang sedang kita lihat sekarang ini, saya dapat membuat rumusan
bahawa kekebalan atau hak keistimewaan yang cuba dihapuskan Tun Dr
Mahathir tidak pernah terhapus, tetapi cuma berpindah dari institusi
Raja Raja kepada pihak eksekutif politik yang sangat berkuasa pada hari
ini.
Mungkin inilah juga di antara sebab mengapa Tun Dr Mahathir sangat risau dan marah dengan keadaan politik negara pada hari ini.
Keadaan
ini juga yang menyebabkan Ketua Polis Negara, Peguam Negara, Pengerusi
SPRM dan Governor Bank Negara semuanya longlai dan membisu seribu
bahasa. Di dalam hal ini, rakyat menjadi pemerhati dan masih menunggu
jawapan.
__________________________________________________________.png)
0 Comments