
Pasukan Petugas Khas yang menyiasat isu melibatkan 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) memaklumkan mereka sudah mengetahui berkaitan
dakwaan wang RM2 juta dimasukkan ke akaun isteri perdana menteri iaitu Rosmah Mansor.
“Selanjutnya berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri
perdana menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh pasukan
petugas khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang
dikendalikan,” kata Pasukan Petugas Khas itu dalam satu kenyataan media
hari ini.
Kenyataan media itu dikeluarkan bersama oleh ketua-ketua di Jabatan
Peguam Negara, Bank Negara, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pasukan Petugas Khas itu dalam kenyataannya turut menegaskan siasatan
dijalankan dengan telus, bebas dan profesional serta berharap semua
pihak tidak mempersoalkan kewibawaan mereka.
“Semua pendedahan itu dipandang serius oleh Pasukan Petugas Khas dan
siasatan akan dibuat serta kenyataan diambil daripada semua orang yang
berkenaan,” kata kenyataan itu lagi.
Pada Khamis, Sarawak Report mendakwa isteri perdana menteri Rosmah Mansor menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM2 juta, di antara 10 Februari dan 23 April tahun ini.
Jumlah itu didakwa didepositkan seorang “pembantu peribadi” bernama
Roslan Sohari menerusi lapan transaksi ke dalam akaun Affin Bank milik
“Rosmah Binti Mansor (Datin Sri)” di cawangan Bangunan Getah Asli Kuala
Lumpur.
Sementara itu, portal berita Malaysiakini dilapor sudah menghubungi seorang pembantu Rosmah Mansor dan masih menunggu reaksi pihak beliau.
Sumber: Astro Awani
__________________________________________________________.png)
0 Comments