░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░ ░░░░█▀█░█░░░█▀▀░█▀█░█▀▀░█▀▀░░░░█░░░█░█░▄▀░█▀▀░░░░▀█▀░█░█░█░▄▀▀░░░░░ ░░░░█▀▀░█░░░█▀░░█▀█░▀▀█░█▀░░░░░█░░░█░█▀░░░█▀░░░░░░█░░█▀█░█░░▀▄░░░░░ ░░░░█░░░█▄▄░█▄▄░█░█░▄▄█░█▄▄░░░░█▄▄░█░█░▀▄░█▄▄░░░░░█░░█░█░█░▄▄▀░░░░░ ░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░

7/11/15

Bunuh isteri hamil dua bulan guna pisau

Suspek hubungi rakan minta lihat mayat mangsa

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai membunuh isterinya yang sedang hamil dua bulan dengan menikam seluruh badan menggunakan pisau, masih sempat menghubungi rakannya meminta datang ke rumahnya untuk melihat isteri yang baru dibunuhnya dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Sungai Besi, di sini, petang semalam.

Malah, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta berusia 42 tahun itu dikatakan membalut isterinya, Ruzila Sabtu, 27, yang terlentang berlumuran darah di ruang tamu dengan plastik.

Sebaik selesai membalut isterinya, suspek dikatakan menghubungi rakannya memaklumkan dia sudah membunuh mangsa dan memintanya datang melihat mayat isterinya.

Rakan mangsa yang terkejut sebaik menerima panggilan daripada suspek terus bergegas ke lokasi kejadian dan memintanya membuka pintu sebelum terkedu apabila melihat sekujur badan di ruang tamu yang dibalut dengan plastik dan suspek sedang menangis di tepi mayat isterinya.

Pasangan suami isteri yang berasal dari Melaka itu baru berkahwin setahun lalu dan isterinya yang bekerja sebagai kerani kewangan dipercayai sedang mengandung dua bulan.

Rakan suspek yang enggan identiti dikenali berkata, dia menerima panggilan kira-kira jam 6 petang daripada suspek yang memaklumkan baru selesai membunuh isterinya. 

"Saya amat terkejut dan terus bergegas ke rumah rakannya sebelum terkejut melihat sekujur mayat yang dibalut dengan plastik terbaring di ruang tamu.

"Ketika itu, suami mangsa tidak mampu bercakap dan hanya menangis di sebelah mayat isterinya. Saya terus menghubungi polis memaklumkan kejadian itu," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, berkata suami mangsa ditahan polis untuk siasatan lanjut dan pemeriksaan di lokasi kejadian menemui sebilah pisau dipercayai digunakan suspek.

Katanya, pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati terdapat beberapa kesan tikaman dan siasatan awal polis mendapati kes berpunca akibat perselisihan faham.

Berita Harian
17 Mac 2012
gambar latar belakang adalah hiasan
kecuali pic arwah

Selimut balut mayat isteri

KUALA LUMPUR: “Dia menelefon saya dan berkata aku dah bunuh isteri aku. Suaranya teresak-esak seperti menangis. dan selepas itu panggilan terputus,” kata rakan baik kepada seorang suami yang menikam isterinya bertubi-tubi hingga mati di rumah mereka di tingkat 8, Blok B, Pangsapuri Permai, Sungai Besi, petang semalam.

Rakan yang enggan identitinya didedahkan itu berkata, sebaik menerima panggilan daripada suspek berkenaan yang berusia 42 tahun, dia terus bergegas ke rumah lelaki itu.

Menurutnya, sebaik tiba, dia mendapati rakannya itu berada di dalam rumah manakala isterinya yang sudah meninggal dunia dibalut dengan selimut dan diletakkan di ruang tamu. 

“Saya segera menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bekerja di bahagian kewangan sebuah syarikat swasta di Ampang dijemput suaminya yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan di ibu kota untuk pulang ke rumah.

myMetro
17 Mac 2012


Hamil 8 minggu

KUALA LUMPUR 17 Mac - Keluarga wanita hamil yang dipercayai dibunuh suami sendiri di Sungai Besi di sini, semalam, yakin mangsa menghadapi masalah rumah tangga sejak berkahwin dengan suspek setahun lalu, namun tidak pernah berkongsi perkara itu dengan mereka.

Keluarga Suzila Sabtu, 27, mengesyaki mangsa memendam masalah rumah tangga selepas dilihat menunjukkan perubahan daripada seorang yang ceria kepada pendiam.

Adik mangsa, Mohd. Azzumar Sabtu, 24, berkata, selain dikejutkan dengan berita kematian Suzila, keluarganya juga terkejut apabila dimaklumkan mangsa hamil lapan minggu.

"Sebelum kahwin, Suzila ceria, tapi lepas berkahwin dia tidak banyak bercakap dan jadi pendiam. Apa-apa masalah dalam rumah tangga dia tak pernah maklumkan kepada kami termasuklah dia telah hamil.

Utusan
18 Mac 2012


Kes tikam isteri hamil: Suspek ada rekod mental

Ruzila Sabtu

Polis minta bantuan pakar psikologi 

KUALA LUMPUR: Lelaki yang bertindak membunuh isterinya, Ruzila Sabtu, 27, yang sedang hamil dua bulan di kediaman mereka di Pangsapuri Permai, Sungai Besi, di sini, petang kelmarin dipercayai bertindak sedemikian selepas mangsa mengingkari arahannya supaya menunaikan solat.

Sumber berkata, suspek yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta berusia 42 tahun itu juga dilaporkan mempunyai rekod masalah mental sejak mengikuti aktiviti seni mempertahankan diri beberapa tahun lalu.
Malah, tindakan suspek menghubungi dan memanggil rakannya bagi melihat sendiri mayat isterinya terbaring di ruang tamu selepas ditikam dengan pisau sebelum dibalut seluruh tubuh badannya dengan plastik, mempunyai kaitan dengan dua masalah itu. 

“Bagaimanapun, siasatan terperinci masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan akan meminta bantuan pakar psikologi bagi memeriksa tahap kesihatan suspek,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi memudahkan polis menjalankan siasatan. 

“Polis akan mengambil keterangan daripada saksi seperti jiran, kenalan suspek dan kenalan isterinya untuk membantu siasatan kes itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. 

Beliau berkata, siasatan awal menunjukkan kes berkenaan mempunyai kaitan masalah hubungan suami isteri. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh, berkata hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati ada beberapa kesan tikaman pada badan mangsa selain kecederaan kecil di tangan dipercayai untuk mempertahankan diri. 

“Berdasarkan laporan Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), punca utama kematian mangsa disebabkan satu tikaman objek tajam pada dada dan mangsa juga disahkan hamil dua bulan,” katanya. 

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Azzumar Sabtu, 24, yang ditemui di bilik mayat HKL, berkata kakaknya adalah seorang isteri yang baik dan bertanggungjawab, tetapi suka berahsia. 

“Dia seorang pendiam dan tidak pernah menceritakan mahupun berkongsi masalahnya dengan ahli keluarga lain kerana yakin sesuatu masalah dihadapi pasti dapat diselesai dengan cara baik,” katanya.

Berita Harian
18 Mac 2012


Pendam sampai mati

KUALA LUMPUR: “Sebelum ini kakak memang tak suka kongsi masalah, dia pendam saja. Memang dia selama ini begitu, malah hubungannya dengan abang ipar saya pun nampak biasa, seperti tiada masalah,” kata Mohd Azzumar, 24, adik Suzila Sabtu yang mati dipercayai dibunuh suaminya di Pangsapuri Permai, Sungai Besi, kelmarin.

Katanya, sifat arwah kakaknya yang suka menyimpan rahsia membuatkan mereka sekeluarga tidak tahu punca sebenar dia diperlakukan sebegitu, sedangkan sebelum ini tidak menunjukkan perubahan atau mengadu masalah.

“Mereka mendirikan rumah tangga setahun lalu dan sebelum ini semuanya kelihatan baik. Kami sekeluarga tidak pernah mendengar kakak mengadu mengenai masalah rumah tangganya, malah mereka kenal pun sudah lama serta bercinta sebelum mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak tahu bagaimana kejadian ini boleh berlaku,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), di sini, semalam.

Dalam kejadian petang kelmarin, arwah Suzila yang bekerja di syarikat swasta ditemui dibalut dengan kain selimut di rumahnya selepas dipercayai dibunuh suaminya.

Kejadian itu dimaklumkan suaminya kepada seorang rakan sebelum menghubungi polis selepas mendapati suspek berada di dalam rumah dengan mayat isterinya diletakkan di ruang tamu.

Jenazah Suzila yang dimandi dan dikafankan di HUKM kemudian dibawa ke rumah keluarganya di Taman Krubong Jaya, Melaka menggunakan kenderaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, hasil bedah siasat yang selesai jam 2.30 petang semalam mendapati beberapa kesan tikaman di badan mangsa dengan satu kesan kecederaan kecil di tangan, dipercayai akibat cubaan mempertahankan diri.

“Bedah siasat mendedahkan punca kematian mangsa disebabkan satu tikaman pada bahagian dada. Malah, doktor mengesahkan mangsa hamil lapan minggu.

“Jenazah mangsa dituntut warisnya dan dikebumikan di kampung halaman di Melaka, petang ini (semalam),” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, polis masih menyiasat motif kejadian dan mengumpul maklumat serta berharap orang ramai tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan.

Katanya, suspek direman sehingga 23 Mac ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

myMetro
18 Mac 2012


‘Kakak tulis dia tak selesa dalam facebook’

MELAKA: “Sehari sebelum kejadian, saya perasan facebook kakak ditulis... tak selesa. Saya tidak pasti sama ada sebab dia mengandung atau kerana masalah lain,” kata Norafifah Sabtu, 18, yang juga adik perempuan kepada Suzila, 27, yang mati dibunuh dengan kejam dipercayai oleh suaminya, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang, mangsa yang bekerja di bahagian kewangan sebuah syarikat swasta di Ampang dijemput suaminya yang bekerja sebagai penyelia tempat letak kereta di sebuah pasar raya terkenal di ibu negara.

Norafifah yang sangat rapat dengan arwah kakaknya berkata, mereka sekeluarga terkejut dan tidak percaya pada mulanya dengan kejadian itu.

Katanya, ini kerana mangsa tidak pernah menunjukkan tanda berdepan masalah selepas menikahi suaminya setahun lalu, malah mereka kelihatan bahagia dan ceria setiap kali balik menjenguk keluarga di kampung.

Menurutnya, abang ipar dan kakaknya berkenalan dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga.

“Beberapa hari lalu, arwah sempat hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) pada emak beritahu dia hendak balik pada Sabtu dan Ahad depan.

“Keluarga kami mahu mengadakan kenduri doa selamat untuk ibu yang akan pergi menunaikan umrah dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Krubong Jaya, dekat sini, petang semalam.

Norafifah berkata, mereka sekeluarga terkejut dengan cara kematian kakaknya yang juga anak kedua daripada enam beradik.

“Dua minggu lalu, ketika balik ke kampung, kakak tidur bersama saya dan kami sempat berbual. Arwah berseloroh dia mahu belanja kami makan di bandar apabila balik pada 24 dan 25 Mac ini.

“Tak sangka hajatnya tidak sampai kerana ajalnya dijemput awal,” katanya sebak ketika ditemui bersama keluarga menunggu jenazah kakaknya untuk dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Kampung Krubong sebelum solat Maghrib.

Norafifah berkata, mereka sekeluarga hanya mengetahui berita kematian kakaknya selepas membaca berita muka depan Harian Metro.

myMetro
18 Mac 2012


Suspek kes bunuh isteri tiada rekod mental

KUALA LUMPUR 18 Mac - Polis mengesahkan lelaki yang dipercayai membunuh isterinya, Suzila Sabtu, 27, yang hamil dua bulan, di kediaman mereka di Pangsapuri Permai di sini, tidak memiliki rekod masalah mental.

Menurut sumber, suspek yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kenderaan berusia 42 tahun itu juga tidak memiliki rekod jenayah.

"Laporan perubatan dan pakar psikologi mengesahkan suspek tidak memiliki masalah mental.

"Selain mendapatkan pengesahan pakar perubatan, polis turut mengambil keterangan rakan suspek yang dipercayai menerima panggilan telefon daripada suspek selepas kejadian itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh berkata, motif kejadian itu masih dalam siasatan.

Utusan
19 Mac 2012



Kes penyelia didakwa bunuh isteri disebut semula 28 Jun

KUALA LUMPUR: Kes seorang penyelia tempat letak kereta yang didakwa membunuh isterinya yang hamil akan disebut semula di Mahkamah Majistret di sini pada 28 Jun.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne memaklumkan kepada mahkamah bahawa laporan bedah siasat mangsa belum diperoleh.

Pada 28 Mac lalu, Johari Ahmad, 42, yang tidak diwakili peguam, didakwa membunuh eksekutif cukai, Suzilah Sabtu, 28, di rumah beralamat No B-8-9, Pangsapuri Permai, Jalan Landai Permai, Sungai Besi, Cheras, di sini antara 3.30 petang dan 6.41 petang pada 16 Mac.

Johari, dari Kampung Pandan di sini, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Media melaporkan Suzilah mati ditikam berikutan satu pertengkaran.

Bedah siasat menunjukkan mangsa yang hamil lapan minggu meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tubi. - BERNAMA
29 Mei 2012
__________________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
AIK?..BACA JE, KOMEN LA SIKIT :)
__________________________________________________________

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Buddy-On9 © 2015 - Designed by Templateism.com