
Hanya
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah boleh memberi
cuti dan 'merehatkan' Perdana Menteri daripada jawatannya atas apa juga
alasan yang diberikan.
Menurut
seorang veteran UMNO yang enggan namanya disebut, keputusan Agong untuk
memberikan cuti kepada Datuk Seri Najib Abdul Razak juga adalah selepas
mendapat pandangan serta laporan daripada Peguam Negara, Tan Sri Abdul
Gani Patail.
"Selain kuasa bubar Parlimen, Agong juga mempunyai kuasa untuk memberi Najib cuti.
"Ia
keputusan terbaik sebelum memangkukan jawatan Najib kepada pemimpin
nombor dua negara sementara apa sahaja prosedur penyiasatan
berlangsung," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Veteran
UMNO berkenaan mengulas kenyataan penganalisis politik, Prof Datuk Dr
Mohammad Agus Yusoff yang dilaporkan berkata Agong tidak mempunyai kuasa
untuk memecat Najib daripada jawatan perdana menteri kecuali mendapat
undi tidak percaya ahli Dewan.
Katanya,
Agong hanya mempunyai kuasa budi bicara untuk melantik perdana menteri
yang pada pendapat baginda boleh mendapat sokongan majoriti ahli Dewan.
Pada
Isnin, bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa berpendapat, sesuatu
mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara ini untuk memaksa Najib
melepaskan tanggungjawab dan kuasanya, setidak-tidaknya untuk sementara
waktu.
Husam
juga mencadangkan supaya Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin menghadap Agong bersama Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail
untuk mencadangkan pelucutan jawatan Najib.
Katanya, Najib juga perlu berbuat demikian bagi membolehkan siasatan dan tindakan bebas dapat diambil.
Sementara itu, veteran UMNO berkenaan berkata kuasa Agong merupakan peringkat tertinggi negara selepas perdana menteri.
"Ada
kondisi yang membolehkan Najib direhatkan, ia juga langkah yang perlu
dilakukan untuk memastikan rakyat berpuas hati dengan apa sahaja
prosedur penyiasatan terhadap perkembangan isu semasa yang berlaku
kini," ujarnya.
Pada
Rabu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan
Kabinet memutuskan tidak mahu perdana menteri direhatkan pada saat
pelbagai isu semasa yang memburukkan nama Najib termasuk melalui
artikel Wall Street Journal (WSJ).
Tegas
Khairy, pendirian Kabinet kini dalam satu keputusan dengan membenarkan
proses berkenaan semua isu melibatkan Najib berjalan seperti yang
diperlukan.
Ketua
Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu juga mengeluarkan
arahan siasatan dilakukan ke atas pihak yang mengugut mahu mengadakan
demonstrasi besar sekiranya Najib enggan berundur.
Dalam
satu kenyataan menerusi akaun Twitternya, Khalid menggesa Pusat Tindak
Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC) menyiasat satu imej bertulis "Demo
besar jika Najib tak letak jawatan".
Najib
pada Mei memberitahu tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan yang
mahu beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
Katanya
selagi rakyat menyokongnya beliau untuk menerajui kepimpinan negara
sebagai perdana menteri dan anggota UMNO terus teguh menyokongnya
sebagai presiden parti maka dia tidak akan berganjak daripada jawatan
yang disandangnya sekarang.
__________________________________________________________
0 Comments