SERAMAI 28 banduan melarikan diri dari sebuah penjara di Brazil selepas
tiga wanita yang berpakaian fantasi ala pakaian seragam polis berjaya
'menggoda' tiga warden penjara, menurut satu laporan.
Polis menemui ketiga-tiga warden penjara berkenaan dalam keadaan
berbogel dan digari di dalam penjara awam Nova Mutum, dekat Cuiaba,
tengah Brazil pada waktu pagi selepas insiden banduan melarikan diri
itu.
Menurut penyiasat, ketiga-tiga wanita tersebut dilaporkan memberikan
minuman keras yang telah diletakkan dadah di dalamnya kepada warden
penjara dan memperdayakan mereka untuk menyertai satu 'pesta liar'.
Sekumpulan banduan melarikan diri menggunakan pintu utama, malah sempat
mengambil senjata dari tempat persembunyian di penjara tersebut.
Polis kemudiannya menemui sebuah beg yang mengandungi pakaian dalam
wanita dan pakaian seragam polis yang digunakan wanita sebagai fantasi
untuk melakukan hubungan seks, dipercayai telah dipakai oleh ketiga-tiga
wanita berkenaan bagi menggoda warden penjara.
Menurut polis, ketiga-tiga wanita tersebut, di mana salah seorangnya
dilaporkan merupakan teman wanita kepada salah seorang banduan yang
melarikan diri, tiba di penjara itu pada pukul 3 pagi Khamis waktu
tempatan dan meminta kebenaran untuk berada di dalam kawasan penjara
untuk berbual dan minum.
Warden penjara itu dilaporkan memenuhi permintaan itu dan kemudiannya
diperdayakan untuk meninggalkan tempat bertugas bagi menemani wanita
tersebut ke kuartes kakitangan.
Menurut ketua polis, Angelina de Andrades Ferreira, kesemua warden
penjara itu kemudiannya diberikan dadah sebelum tangan mereka digari.
Tambahnya, ketiga-tiga wanita itu kemudiannya mengambil kunci dan
membuka semua sel penjara, menyebabkan sekumpalan banduan berjaya
melarikan diri.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata: "Rancangan mereka adalah
untuk menggoda warden penjara dengan memberikan minuman yang mengandungi
dadah supaya mereka khayal. Kemudiannya membuka pintu utama yang
menghubungkan sel penjara di bahagian dalam.
"Mereka yang melarikan diri melalui pintu hadapan.
"Kesemua warden yang khayal tidak dapat mengingati apa-apa. Seorang
daripada mereka ditemui dalam keadaan pening kepala dan cuba untuk
bangun. Seorang lagi tidur sepanjang waktu petang sehingga tidak dapat
disoal siasat.
Polis kini sedang memburu kesemua 28 banduan yang melarikan diri menerusi satu operasi mencari secara besar-besaran.
Polis berkata, seorang banduan ditemui berjalan-jalan dengan memegang senapang yang dicuri di sekitar tengah bandar Nova Mutum.
__________________________________________________________
.png)
0 Comments