░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░ ░░░░█▀█░█░░░█▀▀░█▀█░█▀▀░█▀▀░░░░█░░░█░█░▄▀░█▀▀░░░░▀█▀░█░█░█░▄▀▀░░░░░ ░░░░█▀▀░█░░░█▀░░█▀█░▀▀█░█▀░░░░░█░░░█░█▀░░░█▀░░░░░░█░░█▀█░█░░▀▄░░░░░ ░░░░█░░░█▄▄░█▄▄░█░█░▄▄█░█▄▄░░░░█▄▄░█░█░▀▄░█▄▄░░░░░█░░█░█░█░▄▄▀░░░░░ ░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░

9/13/14

Rempah Selera Nasi Ganja Melekat


SITHIK merupakan pakar mencampur kuah dengan pengalaman  selama 37 tahun. 

SAMBIL mengesat peluh yang memercik di dahi, Abdul Aziz Othman, 69,  menggaul-gaulkan sepinggan nasi putih bercampur kuah kari berlauk ayam goreng,  telur masin dan sambal kelapa yang terhidang di atas meja.

Dengan penuh berselera dia menyuakan nasi berkuah kari, ayam goreng dan  secolet sambal kelapa itu ke mulut lalu mengunyahnya perlahan-lahan.

Biar pun nampak ringkas, tetapi itulah hidangan kegemaran Abdul Aziz, setiap  kali beliau singgah ke bandar Ipoh jika ada urusan kerja, sama seperti ketika  usia mudanya dahulu.

Seleranya dengan nasi kandar yang dijual di Kedai Kopi Yong Suan di Jalan  Yang Kalsom, Ipoh atau lebih dikenali penggemarnya dengan nama nasi ganja itu  telah sebati. Rasanya tidak pernah berubah sejak 55 tahun lalu.

Sesekali kedengaran laungan vangge, vangge, vangge iaitu panggilan dalam  bahasa Tamil bermaksud, Marilah, marilah, marilah' oleh pekerja restoran sambil  mencedok nasi memanggil-manggil pelanggan.

"Sejak zaman muda dahulu saya akan singgah di kedai kopi ini bersama  rakan-rakan sama ada pada waktu pagi atau petang.

"Walaupun bukan penggemar masakan pedas, tetapi saya cukup berselera makan di  sini. Mungkin campuran kuah karinya lain daripada kari yang dimasak di  rumah.

"Biasanya saya pilih nasi putih, telur masin dengan ikan kuah atau ayam  goreng dan sambal kelapa. Bagi saya, inilah nasi kandar sebenar," ujar Abdul  Aziz.

Kini, Abdul Aziz berkongsi selera sama dengan salah seorang anaknya, Azana  Rita, 35, yang mengenali kedai nasi ganja itu sejak zaman kanak-kanak.

Sama seperti bapanya, beliau juga bukan penggemar masakan mamak, tetapi  seleranya segera mengalah apabila diajak ke kedai nasi ganja.

"Setiap kali mengikut bapa ke bandar Ipoh pasti saya dibawa makan di kedai  ini. Mulanya tidak suka, tapi lama kelamaan selera nasi ganja melekat.

"Walaupun nama asalnya kedai Nasi Kandar Ayam Merah, kebanyakan orang  menggelarkannya 'nasi ganja' kerana keenakannya. 

"Saya suka sambal kelapanya yang tidak ada di mana-mana kedai nasi kandar  lain. Rasanya cukup istimewa," ujar beliau yang kerap melapangkan masa untuk  singgah di restoran itu setiap minggu.

Sewa kedai


TIGA sahabat karib iaitu Sithik (kiri), Khuang Ngiap dan  Nihmatullah (kanan). 

Perniagaan Nasi Kandar Ayam Merah ini bermula pada tahun 1959 oleh Kassim  Mohamad yang berasal dari Irumeni iaitu sebuah pekan kecil di wilayah Tamil  Nadu, India.

Kassim yang bekerja di sebuah kedai nasi kandar di Pulau Pinang selepas  berhijrah ke sana sekitar tahun 1950-an kemudian berpindah ke Ipoh, Perak.

Bermula dengan dua ekor ayam, Kassim yang berniaga nasi kandar di kaki lima  sering rugi kerana nasi dan lauk pauk yang dimasak tidak habis.

Bagaimanapun keadaan ini berubah apabila beliau dipelawa seorang rakan  berketurunan Cina, Ang Pang Piew supaya menyewa kedainya di Jalan Yang Kalsom  yang terletak berhadapan Stesen Bas Tanjung Rambutan.

"Ketika itu kebanyakan penumpang bas ke Tanjung Rambutan adalah anggota polis  dari kem Ulu Kinta atau tentera dari kem Tambun.

"Sebaik tiba di pekan Ipoh, pagi-pagi lagi mereka akan singgah makan di kedai  ini. Begitu juga waktu petang sebelum pulang ke kem," ujar pengurus Restoran  Nasi Kandar Ayam Merah, Nihmatullah Syed Mustafa, 50.

Beliau mewarisi restoran itu daripada abang iparnya, Allahyarham Kamal Nazaar  Abdul Rahman.

Ketika itu rezekinya mencurah-curah. Bermula daripada dua ekor ayam, ia  bertambah kepada 30 ekor sehari selain lauk-pauk seperti sotong, ikan, udang dan  daging.

Walaupun stesen bas itu tiada lagi sejak 15 tahun lalu, namun populariti nasi  ganja tidak pernah pudar.
Rempah-ratus

PILIHAN lauk-pauk seperti kari ikan, ayam masak merah, kari  sotong dan ayam goreng berempah. 
Katanya, keistimewaan nasi ganja terletak pada ayam merahnya yang dimasak  menggunakan resipi keluarga. Hidangan ini dipercayai tidak boleh didapati di  restoran lain.

Nasi kandar di restoran ini juga menggunakan pelbagai rempah-ratus yang  digiling secara tradisional dan dibeli khas dari Pulau Pinang.

Selain ayam masak merah, restoran ini menyediakan 13 lauk-pauk setiap hari  oleh tukang masak tunggalnya, Tamim Ansari, 33.

"Keenakan nasi kandar sebenarnya terletak pada kemahiran mencampurkan kuah di  atas nasi pelanggan. Campurannya adalah kuah kari ikan, kari ayam dan rendang  kicap.

"Di kedai ini kemahiran itu dimiliki abang ipar saya, Sithik Salam, 57, yang  mula bekerja di sini sejak umurnya 10 tahun," ujar Nimatullah.

Sementara itu, pemilik kedai kopi, Ang Khuang Ngiap, 64, berkata, sambutan  orang ramai terhadap nasi ganja turut melariskan jualan minuman di kedai yang  diwarisi daripada mendiang ayahnya.

Bagi Khuang Ngiap, beliau dan Nihmatullah bersama pekerja masing-masing  berganding bahu untuk memuaskan hati pelanggan mereka.

"Mereka menikmati nasi kandar Nihmatullah manakala saya menyediakan pelbagai  jenis minuman selain roti bakar dan telur separuh masak.

"Penduduk Melayu, India dan Cina di Ipoh khususnya tidak kekok untuk menjamu  selera di kedai ini, bahkan kami berdua gembira dapat meneruskan perniagaan  keluarga masing-masing," ujar Khuang Ngiap.

Gara-gara satu berita palsu yang disebarkan menerusi laman maya oleh seorang  blogger, Restoran Nasi Kandar Ayam Merah terpalit dengan isu sensasi.

Restoran itu difitnah menggunakan najis manusia sebagai pelaris yang kononnya  menyebabkan Jabatan Kesihatan negeri Perak mengeluarkan notis penutupan premis  selama 14 hari.

Menurut Nihmatullah, peristiwa yang berlaku pada 15 November tahun lalu  memang memeranjatkan tetapi beliau tetap berpendapat ada hikmah di  sebaliknya.

"Sebenarnya, notis penutupan itu tiada kaitan dengan penggunaan najis. Saya  sendiri terperanjat dan tidak menyangka bagaimana berita palsu itu disebarkan di  media sosial.

"Restoran ini dibuka beberapa hari kemudian setelah garis panduan dipatuhi.  Ramai pelanggan yang keliru dan bertanya bagi mengetahui perkara sebenar.

"Nasi Kandar Ayam Merah ini sudah menjadi satu jenama pelancongan di Ipoh.  Secara logik, ramai orang kenamaan termasuk pemimpin negara dan artis datang ke  sini.

"Kami tidak sanggup untuk melakukan perbuatan seperti itu kerana ia  seolah-olah mencurah pasir ke periuk nasi sendiri," ujar Nihmatullah.
______________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
p/s: please leave our comments also
tolong komen sekali ye post ini
______________________________________________________

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Buddy-On9 © 2015 - Designed by Templateism.com