░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░ ░░░░█▀█░█░░░█▀▀░█▀█░█▀▀░█▀▀░░░░█░░░█░█░▄▀░█▀▀░░░░▀█▀░█░█░█░▄▀▀░░░░░ ░░░░█▀▀░█░░░█▀░░█▀█░▀▀█░█▀░░░░░█░░░█░█▀░░░█▀░░░░░░█░░█▀█░█░░▀▄░░░░░ ░░░░█░░░█▄▄░█▄▄░█░█░▄▄█░█▄▄░░░░█▄▄░█░█░▀▄░█▄▄░░░░░█░░█░█░█░▄▄▀░░░░░ ░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░░

9/12/14

Hormati Wanita Mengandung Tapi ...



WANITA mengandung memang selalu dapat perhatian saya. Perhatian yang bersulam dengan rasa kasihan, simpati, hormat dan menghargai. Saya mengingat pengorbanan mereka yang pada setiap saat menanggung rasa tidak selesa selama lebih sembilan bulan untuk melahirkan seorang manusia sebagai pewaris khalifah di dunia.       

Siapa pun dia, setiap orang lahir dari rahim wanita, tiada yang terkecuali. Kerana itu, amat wajarlah bagi kita untuk memuliakan wanita, memberi keutamaan kepada mereka, terutama yang sedang sarat mengandung.

Namun, amat menyedihkan sekali apabila lewat media sosial mutakhir ini, kita sering ditunjukkan dengan peri laku biadab segelintir individu yang membiarkan ibu-ibu mengandung berdiri, tidak diberi ruang untuk duduk dalam pengangkutan awam.

Tidak tahu apa yang hendak dikata tentang mereka yang bersikap seperti ini kerana tidak mungkin mereka tidak sedar bahawa seseorang wanita yang mengandung itu sedang menanggung susah payah, berkeadaan uzur dan perlu diberi kutamaan.

Mereka sendiri pun lahir dari rahim seorang ibu dan tidak mungkin mereka tidak pernah diceritakan mengenai hal itu. Atau apa mereka itu sememangnya anak buluh betung?

Cerita saya sendiri pula, kelmarin, sedang buat kerja penyuntingan saya temui berita yang kurang fakta nya dan memerlukan penjelasan. Berita itu ditulis seorang pemberita yang sedang sarat mengandung.

Di bangunan pejabat kami, pemberita tempat duduknya di tingkat satu, manakala saya di tingkat dua. Biasanya apabila hadapi kes yang semacam itu, saya akan panggil mereka yang berkenaan untuk naik ke tempat saya.

Akan tetapi, dalam kes ini, si pemberita itu sarat mengandung. Melihat 'mak buyung' berjalan sahaja pun sudah boleh buat saya jatuh hiba, inikan pula mahu panggil dia mendaki tangga untuk berjumpa dengan saya.

Katalah apa pun, saya tidak akan sampai hati untuk buat begitu! Kerana itu, saya pun turun ke tingkat satu untuk  mencarinya dan sampai sahaja di hadapannya, saya terus berkata: "Walaupun saiz perut kita lebih kurang sama, tapi saya tak sampai hati nak panggil awak naik ke tempat saya. Sebab itu saya turun cari awak di sini ..."

Semua ini bukannya apa, saya selalu terkenang kisah sedih isteri saya sewaktu mengandung anak sulung kami. Pada masa itu, kami belum punya kereta. Isteri setiap hari berulang alik dengan bas Leng Seng dari rumah sewa di Seksyen 2, Wangsa Maju ke tempat kerjanya di Hospital Kuala Lumpur.

Selalu sahaja dia mengadu tidak dapat tempat duduk dan terpaksa berdiri sepanjang jalan. Bayangkanlah dalam keadaan perut memboyot, terpaksa berdiri dalam keadaan terhimpit dan terhuyung-hayang.

Mengapa dalam keadaan masyarakat yang berasa sudah cukup bertamadun ini, masih ada yang begitu penting diri, tergamak untuk duduk dengan selamba seperti tak punya perasaan melihat orang mengandung. Kalau bukan tempat duduk yang khusus untuk orang mengandung pun, apa susahnya bangun untuk menunjuk kita orang yang berhati perut?

Akan tetapi dalam menunjuk prihatin, kita masih perlu berhati-hati untuk mengelak daripada malu seperti apa  yang terjadi kepada seorang kawan saya. Kerana simpati dia mempelawa seorang kakak yang beratur di hadapannya dalam satu sesi pendaftaran untuk pergi duduk dahulu.

"Nanti apabila sampai giliran saya, saya panggil akak. Akak boleh ambil giliran saya, saya kemudian pun tak apa. Akak mengandung, berdiri lama-lama macam ni penat. Kasihan saya tengok, " katanya kepada kakak itu dengan penuh berhemah.

Dengan tidak disangka-sangka kakak itu pula menjawab begini: "Tak apa, dik. Terima kasih banyak-banyak. Akak ni sebenarnya bukan mengandung pun, cuma perut akak je besar sikit."

Apa lagi, tersipu-sipu malu,lah kawan saya itu kerana semua orang memandang ke arahnya. Mungkin itu bukan kali pertama si kakak itu disangka mengandung, walhalnya tidak. Kerana itu, berhati-hatilah.

Sejak kejadian itu, kawan saya tidaklah sampai serik atau berhenti terus daripada bersikap baik memberi keutamaan kepada wanita mengandung.

"Ini dah jadi sikap saya sejak sekian lama (memberi keutamaan kepada wanita mengandung). Tetapi sekarang, setiap kali mahu pelawa mereka duduk atau sebagainya, saya  tak lagi sebut hal mengandung atau apa. Nak bagi laluan, nak bagi duduk atau bagi giliran, bagi sajalah. Jangan kira dia mengandung atau tidak," katanya.
______________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
p/s: please leave our comments also
tolong komen sekali ye post ini
______________________________________________________

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

 
Buddy-On9 © 2015 - Designed by Templateism.com